Allah tahu, kita mampu !
Monday, 23 December 2013 0
‘’Ya Allah, kenapa mesti aku yang perlu melalui semua ini?’’
Begitulah keluhan yang acapkali akan lahir dari mulut insan
yang teruji. Seolah-olah ada ketidakadilan sedang menimpa dirinya. Hati tidak
redha atas apa yang berlaku, tidak mampu menerima ketentuan dari-Nya.
Hidup Tak Selalu Indah.
Tiada siapa suka akan kesusahan, kedukaan atau penderitaan.
Dan tiada penafian untuk kebenaran ini. Namun, Allah SWT telah mengingatkan
bahawa hakikat hidup tidak selalunya indah. Kita pasti diuji kerana ia adalah
satu tapisan dalam menjadi hamba-Nya yang terbaik.
‘’Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami
benar-benar mengetahui orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara
kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.’’
[QS Muhammad, 47:31]
Jadi, jika kita kembali ke persoalan tadi, layakkah
sebenarnya untuk kita bertanya sedemikian?
Didiklah Hatimu.
Sebenarnya, hati kita perlu diajar untuk merasa bahagia
apabila ditimpa musibah. Berbahagialah kerana kita adalah yang terpilih untuk
diuji oleh Allah SWT di saat berjuta lagi umat di luar sana dibiarkan terus
lalai bergelumang dosa dan maksiat. Kita pasti tidak mahu Allah SWT membiarkan
kita hanyut dengan dunia bersama bakal penghuni neraka.
Oleh itu, terimalah setiap ujian dan dugaan dari-Nya sebagai
bekalan elektrik yang akan mengecas bateri untuk terus menyalakan lampu suluh
petunjuk dalam perjalanan menuju redha Ilahi.
Percayalah, jika kita melalui
jalan raya tanpa permukaan tar yang kasar dan berdebu, mana mungkin kita akan
tiba di destinasi yang dituju dengan selamat. Jalan yang licin tidak akan
memberi daya geseran pada tayar. Akibatnya, kita begitu mudah tergelincir
semasa memandu.
Analogi yang mudah bukan? Allah yang Maha Penyayang ingin
agar kita sampai di syurga-Nya. Lalu Dia sediakan halangan, ujian dan dugaan
sepanjang perjalanan kehidupan ini agar hati kita semakin kuat.
Bersyukurlah Bila Diuji.
Oleh itu, bersyukurlah saat diuji kerana tanpa ujian, kita
akan mudah untuk lalai dan semakin jauh dari Allah SWT. Malah, kita pasti akan
senang tergoda oleh mereka yang mengajak kearah kebatilan.
Ayuh, kita sediakan antibiotik yang akan membuat kita kuat
di saat lemah, bangkit di saat terjatuh dan senyum di saat menangis. Antibiotik
itu akan terhasil dengan mengembalikan segalanya kepada Allah SWT. Bukankah
Rasulullah SAW saat ditimpa ujian akan segera menunaikan solat dan berdoa
mengharapkan pertolongan Allah SWT? Kerana itulah pesanan dari Allah SWT:
‘’Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah)
dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar.’’
[QS Al-Baqarah, 2:153]
Didiklah hati untuk yakin, Dia yang menurunkan ujian, maka
hanya Dia mampu menariknya semula. Malah, Imam Al-Ghazali berkata:
‘’Segala sesuatu jika kau pisahkan daripada dirimu pasti ada
penggantinya, kecuali Allah. Jika kau pisahkan daripada hidupmu, nescaya tiada
pengganti-Nya.’’
Justeru, walau apa pun badai ujian yang menimpa, sabar dan
berjuanglah semampunya dengan kudrat yang diizinkan Allah SWT. Bersangka baik
dengan Allah dan positif dengan apa jua warna-warni ujian-Nya yang bakal
menghiasi lukisan kehidupan kita.
Bertahanlah kerana Allah SWT
tahu, kita mampu!
‘’Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan
kesanggupannya.’’
[QS Al-Baqarah, 2:286]
With Love,
Ekin.

Asyikin,
Template : 


Allah tahu, kita mampu !